Tuesday, May 22, 2012

Dasar-dasar Negara


DASAR BERSIH CEKAP AMANAH
Bersih, Cekap dan Amanah
Objektif
Objektif utama dasar ini adalah sebagaimana berikut:-
Bagi mengujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkat hasil (productivity) dan mutu kerja.
Untuk meningkatkan semangat atau motivasi pekerja seiring dengan Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan.
Secara khususnya sifat-sifat yang ingin diterapkan ke jiwa setiap golongan pekerja dan rakyat adalah seperti berikut:-
1. Bersih iaitu a Mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah.
a. Berkecuali iaitu tidak memihak ke mana-mana atau berat sebelah.
b. Tidak mementingkan diri sendiri.
c. Tidak khianat, hasad dan dengki.
2. Cekap iaitu a Berani dan cepat membuat keputusan.
a. Menghadapi krisis dengan tenang
b. Bersikap tegas kepada prinsip.
c. Mempunyai produktiviti yang tinggi dan kualiti dalam kerja.
d. Mempunyai keyakinan diri.
e. Berpandangan jauh – proaktif dan bukan reaktif.
f. Berpengetahuan, berpengalaman dan mahir dalam bidang-bidang tertentu.
3. Amanah iaitu rela dan cuba menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan.
a. Mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri sendiri, rakan dan organisasi Strategi PelaksanaanDalam melaksanakan konsep ini Kerajaan telah mempraktikkannya sendiri terlebih dahulu dengan mengambil daya utama bagi membaiki perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh pentadbiran awamnya melalui langkah-langkah tertentu, di antaranya ialah:-
(i) Mengadakan Manual Prosedur Kerja (MPK) & Fail Meja (FM)
Kerajaan telah menyedari bahawa terdapat kelemahan dalam pentadbiran awamnya berpunca dari ketidakpastian pegawai dan kakitangan Kerajaan mengenai tugas dan kuasa untuk bertindak dan ujudnya pertindihan tugas dan tanggungjawab. Kerana ketidakpastian ini pegawai-pegawai tidak yakin untuk membuat keputusan, tetapi sebaliknya terpaksa merujukkan kepada pihak atasan atau kepada agensi lain. MPK dan FM akan menentukan sejelas-jelasnya cara sesuatu kerja harus dijalankan, siapa yang bertanggungjawab, siapa yang mempunyai kuasa, pihak yang harus dihubungi, apa peraturan dan undang-undang yang disemak dan langkah-langkah yang harus diambil.
Kesemua Jabatan Kerajaan telah diminta menyediakan MPK dan FM ini, dan diharapkan ini dapat melicinkan pentadbiran dan mempercepatkan tindakan.
(ii) Membaiki aspek pengurusan melalui teknik-teknik baru seperti mesyuarat dan kumpulan meningkat Mutu Kerja (QCC)
Dalam teknik ini pegawai-pegawai dan kakitangan awam di semua lapisan boleh memberi sumbangan fikiran dan tidak pasif iaitu menunggu arahan semata-mata. Di dalam mesyuarat-mesyuarat dan KMK ini idea-idea baru dan pandangan praktikal boleh disuarakan untuk membaiki kerja. Secara khususnya teknik baru ini memerlukan setiap penjawat awam mempunyai sikap ‘innovative dan creative’.
(iii) Pengluasan khidmat pusat-pusat pembayaran bil setempat
Ini adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menyelesaikan urusan mereka dengan cepat dan menjimatkan masa tanpa mereka terpaksa pergi ke beberapa jabatan yang berasingan.
(iv) Pejabat Pelan Terbuka
Bagi mempastikan ruang pejabat digunakan secara optima, dan membolehkan pengawasan dijalankan dengan lebih sempurna.
(v) Kad perakam waktu
Ini bukan sahaja bagi menentukan semua pegawai mengikut waktu sebagai satu formaliti tetapi yang penting ialah mereka mengambil berat tentang waktu dan bertindak mengikut jadual.
(vi) Pengisytiharan harta oleh para anggota kabinet dan pegawai serta kakitangan Kerajaan.
(vii) Pemakaian ‘name tag’ oleh kakitangan Kerajaan.
(viii) Menegaskan dan mengukuhkan peranan Badan Pencegah Rasuah khasnya bagi menyiasat tuduhan-tuduhan rasuah.
(ix) Perkhidmatan Cemerlang bagi menghargai pegawai-pegawai yang didikasi dan telah memberikan sumbangan yang istimewa. Di dalamnya terkandung tujuh Teras Perkhidmatan yang menjadi asas bagi prestasi kelakuan dan kerja-kerja seharian kakitangan awam.
(x) Penghantaran pegawai-pegawai melanjutkan pelajaran bagi meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka agar dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna dan produktif apabila balik nanti



DASAR EKONOMI BARU
Dasar Ekonomi Baru
Strategi Pelaksanaan
Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru adalah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:
i. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
ii. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Membasmi kemiskinan
Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi juga di bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya:
i. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur.
ii. Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.
iii. Memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan.
iv. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah.
v. Memodenkan kehidupan di luarbandar.
vi. Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputera.
vii. Mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.
viii. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan kemudahan infra-struktur dan lain-lain.
Penyusunan Semula Masyarakat
Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham / ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri dari pelabur-pelabur luar negeri.
Dalam mencapai matlamat penyusunan semula Dasar Ekonomi Baru, strategi berikut telah disusun :
i. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luarbandar.
ii. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum.
iii. Menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi.
iv. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi dalam tahun 1990 dan menubuhkan beberapa agensi saperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera,Amanah Saham Nasional.
v. Memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA dan sebagainya.




DASAR PENSWASTAAN
Penswastaan
Latarbelakang
Pengswastaan mula mendapat perhatian yang wajar di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983 apabila Y.A.B. Perdana Menteri melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara.
Penswastaan adalah bertentangan dengan pemiliknegaraan (nationalization), iaitu satu proses yang menambahkan pemilikan dan penguasaan Kerajaan dalam ekonomi. Pada dasarnya, pengswastaan melibatkan beberapa kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi faktor-faktor utama yang membawa kepada Dasar Pengswastaan ini diperkenalkan.
Objektif
Dasar Pengswastaan diperkenalkan dengan mempunyai objektif seperti berikut:
(i) Mengurangkan Bebanan Kewangan Kerajaan
Pada masa yang lepas, pihak Kerajaan telah membelanjakan ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, jalan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, dan perbelanjaan tersebut terus meningkat dari masa ke semasa dan kadar pulangan balik kepada Kerajaan adalah lambat dan sangat rendah.
Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini dan sekarang telah menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus.
(ii) Meninggikan Kecekapan Dan Penghasilan Kerja
Pencapaian kebanyakan daripada perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian masih tidak memuaskan walaupun mereka mempunyai kedudukan monopolistik dan menikmati berbagai sokongan Kerajaan. Dengan mengswastakan beberapa perkhidmatan Kerajaan yang tertentu, serta dengan kepakaran dan peluang yang lebih baik yang boleh di beri oleh pihak swasta, adalah dijangka perkhidmatan tersebut dapat di tingkatkan dengan lebih baik lagi.
(iii) Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Dan Kekesanan Negara
Harta-harta atau kekayaan yang dimiliki oleh negara masih belum diusahakan sepenuhnya. Halangan-halangan yang terdapat dalam sektor awam tidak menggalakkan penggunaan sumber-sumber kekayaan negara ini dengan cekap dan sepenuhnya.
Lebih banyak syarikat swasta yang dapat di wujudkan yang dengan secara tidak langsung dapat meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak Kerajaan pula dapat mengecap nikmat bersama dengan mengutip cukai pendapatan dari syarikat-syarikat yang berkenaan.
(iv) Pembahagian Sumber Serta Kecekapan
Lebih banyak penglihatan Kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak penguasaan Kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan pula biasanya dibuat berasaskan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar daripada barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kerajaan mencerminkan nilai pasaran. Harga barangan tersebut adalah berasaskan subsidi dan sumber yang diuntukkan itu untuk pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap.
Subsidi dan pengekalan sikap yang berkehendakkan kebajikan, akan menggalakkan rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan. Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang perseorangan dan negara keseluruhannya.
(v) Mempercepatkan Pencapaian Matlamat dasar Ekonomi Baru
Dengan memberi lebih banyak peluang kepada pihak swasta, Kerajaan dapat mengwujudkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta Bumiputera atau bilangan pengurus-pengurus Bumiputera bagi memenuhi kehendak-kehendak Dasar Ekonomi Baru itu.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa isu penting perlu diselidiki, dikaji dalam menimbangkan cadangan-cadangan pengswastaan sesuatu perkhidmatan itu. Kabinet telah mengarahkan satu Jawantankuasa ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan dianggotai oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Jabatan Awam (PSD) dengan dipengurusikan oleh Unit Perancang Ekonomi bagi menyediakan satu garis panduan yang lengkap untuk memudahkan Kementerian/Jabatan mengswastakan beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian/Jabatan masing-masing. Antara isu-isu yang perlu di pertimbangkan ialah:
(a) Pemecahan sesuatu khidmat (fragmentation);
(b) Soal keselamatan;
(c) Perundingan;
(d) Implikasi kewangan;
(e) Penentuan harga;
(f) Implikasi kepada kakitangan;
(g) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru;
Berdasarkan kepada angka perbelanjaan dan peruntukan-peruntukan pembangunan awam, sektor swasta pula mengkaji keupayaan mereka dalam mengurus dan mengambilalih harta-harta yang akan diswastakan. Pengawasan dan penilaian yang rapi terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan juga merupakan sebahagian dari program pengswastaan. Tingkat kecekapan daya pengeluaran, daya persaingan yang sihat serta tingkat harga yang dikenakan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan perlu diawasi untuk menilai kos dan faedah dari perkhidmatan yang diswastakan.
Penutup
Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik ‘national monopoly’ yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut.
Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.











DASAR PENSYARIKATAN NEGARA
Persyarikatan Malaysia
Objektif
Persyarikatan Malaysia bertujuan mengujudkan satu kerjasama yang erat, bermakna dan berkesan di antara pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam menjayakan pembangunan negara yang akan membuahkan munafaat yang akan dikecapi oleh kedua-dua pihak.
Y.A.B. Perdana Menteri sendiri menerangkan konsep Persyarikatan Malaysia memerlukan kedua-dua sektor menghapuskan sikap permusuhan dan sebaliknya bersama berkongsi maklumat, tanggongjawab, cabaran serta memahami polisi, objektif dan prosediur-prosediur dalam usaha-usaha mempertingkatkan pembangunan sosial, pentadbiran dan ekonomi negara. Hubungan kerjasama yang erat ini sebenarnya akan menguntungkan semua pihak di mana dasar-dasar awam akan mudah difahami, dilaksana dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Keuntungan yang diperolehi oleh sektor swasta pula akan dapat dikecapi bersama-sama melalui cukai dan penglibatan sosial secara bersungguh oleh pihak swasta.
Strategi Pelaksanaan
Kesefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua sektor boleh dicapai melalui:
i) Sikap kurang faham terhadap pihak awam dengan pihak swasta perlulah dihapuskan.
ii) Pihak awam dan swasta haruslah mempunyai satu persetujuan bagi mencapai matlamat negara. Dengan itu kedua-dua pihak mempunyai matlamat iaitu menjaga maruah negara dan tidak hanya satu pihak sahaja yang akan bersungguh membangunkan negara.
iii) Peraturan dan prosediur kerja pihak awam hendaklah dikaji dan diubah di mana perlu dan jika boleh pihak swasta hendaklah dilibatkan dalam menggubal peraturan serta prosediur yang ada.
iv) Hubungan di antara Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun di antara satu sama lain hendaklah dipertingkatkan supaya setiap agensi kerajaan mempunyai matlamat kerja dan cara bekerja yang sama. Ini membolehkan pihak swasta mudah menghubungi dan menguruskan kerja-kerja mereka.
Dalam hubungan ini, pihak INTAN telah mengadakan beberapa siri forum, seminar dan perbincangan dalam usaha-usaha mendapatkan pandangan-pandangan pertukaran-pertukaran maklumat di peringkat persekutuan dan negeri-negeri. Beberapa syarikat swasta juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan seminar yang serupa.
Dalam usaha mengujudkan kerjasama yang lebih erat dan penglibatan pihak swasta dalam penggubalan dasar dan prosediur, secara lebih berkesan, satu Surat Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 1984 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara telah dikeluarkan, mengarah supaya semua Kementerian, Jabatan, badan berkanun dan Pejabat Daerah menubuhkan Perundingan di antara pihak swasta dan pihak awam.
Selain dari itu beberapa program-program lain juga telah dijalankan seperti menempatkan pegawai kerajaan ke syarikat swasta. Sebagai permulaannya seramai 18 orang pegawai telah ditempatkan di British Malaysian Industry and Trade Association (BMITA) mulai tahun 1984 yang lalu dengan tujuan membolehkan pegawai-pegawai itu mempelajari selok belok pengurusan sektor swasta tentangnya dibidang perniagaan, perdagangan dan industri.







DASAR PERINDUSTRIAN NEGARA
Dasar Perindustrian Negara
Objektif
Objektlf Pelan Induk Perindustrian (PIP)
Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada 3 Februari, 1986 telah menggariskan tiga matlamat iaitu:
(a) Menjadikan sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuhan
perindustrian negara;
(b) Menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber asli negara; dan
(c) Meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan (R & D) teknologi
tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian
Strategi Pelaksanaan
Strategi Pelan Induk Perindustrian
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, PIP telah mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan. Tujuh daripada sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber tempatan iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia, logam bukan ferus dan keluaran-keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan pakaian. Kesemua industri ini telah dipilih berasaskan kepada potensi untuk mencapai matlamat memperluaskan asas industri negara. PIP juga telah mencadangkan langkah-langkah berikut diambil supaya Malaysia dapat mencapai taraf sebuah negara perindustrian:
(a) Melaksanakan dasar perindustrian yang berpandangan ke luar. Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi, Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan lebih kompetitif;
(b) Memajukan secara intensif industri-industri berasaskan sumber untuk eksport dan mempelbagai serta meningkatkan industri bukan berasaskan sumber untuk eksport. Dari 12 sektor industri yang terpilih, beberapa keluaran/industri telah dikenalpasti sebagai keluaran/industri keutamaan untuk dimajukan;
(c) Memajukan industri-industri berat terpilih untuk menyokong industri-industri eksport. Strategi ini dipilih memandangkan kerajaan sudahpun membuat pelaburan yang banyak dalam beberapa jenis industri berat. Usaha-usaha perlu ditumpukan kepada memastikan kejayaan projek-projek itu dahulu sebelum menceburi bidang-bidang industri berat yang lain;
(d) Memaju dan menggunakan sistem perkhidmatan maklumat yang
bersepadu;
(e) Membangunkan teknologi dan tenaga rakyat;
(f) Mengurangkan perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan
memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri-industri di kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Penubuhan industri-industri diutamakan di sepanjang western corridor di pantai barat Semenanjung yang mempunyai hampir 75-80 peratus penduduk dan di mini corridor di pantai timur. Semenanjung, dengan tumpuan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan, dan di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu;
(g) Memoden dan menyusun semula struktur perindustrian dengan
mempertingkatkan pembangunan industri-industri kecil dan sederhana kerana sektor ini merupakan tulang belakang proses perindustrian seperti yang ternyata di negara Taiwan dan menyusun semula industri-industri yang kurang berkesan tetapi penting dalam ekonomi negara;
(h) Memperkukuhkan institusi-institusi yang bertanggungjawab kepada
pembangunan sektor pembuatan; dan
(i) Menyusun semula sistem galakan perindustrian yang sedia ada
untuk memupuk kecekapan dan daya bersaing yang lebih tinggi


Lilypie Kids Birthday tickers