Thursday, July 1, 2010

MUZIUM CHENG HO


Muzium ini dibina bagi memperingati seorang Laksamana bernama Cheng Ho atau Zheng He yang hidup sewaktu zaman dinasti Ming di China. Pengembara terkenal ini telah menjalankan tujuh pelayaran pengembaraan di antara tahun 1405 dan 1433 dan meninggalkan jejaknya di Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara.

Lima dari pelayarannya ini telah membawanya menerusi Melaka, pelabuhan yang dikatakan telah diasaskan olehnya. Pelayaran pengembaraanya ini telah meninggalkan kesan yang besar ke atas kepentingan Melaka di dalam sejarah rantau ini.

Beliau merupakan salah seorang yang dipercayai oleh Maharaja China ketiga Dinasti Ming dan beliau mempunyai pengaruh besar ke atas hubungan antarabangsa negara China pada ketika itu. Di pertengahan kurun ke-15, beliau diberi kepercayaan membawa anak perempuan Maharaja iaitu Puteri Hang Li Po ke Melaka untuk berkahwin dengan Sultan Melaka.

Rombongan Puteri Hang Li Po yang terdiri dari ratusan anak menteri dan dayang telah berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di Melaka lalu membentuk masyarakat Baba Nyonya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Cheng Ho mempunyai sebuah gudang menyimpan barang di Melaka suatu ketika dahulu.

Salah sebuah bangunan lama yang terletak di pekan lama Melaka yang mempunyai ciri-ciri hiasan gaya dinasti Ming dipercayai merupakan gudang tersebut dan kini menjadi tapak muzium Cheng Ho.

Ruang pameran di sini menggambarkan kehidupan dan pengalaman Laksamana terkenal itu. Pameran seperti Bilik Teh dan Kabin Kapal Harta Karun akan membawa anda ke zaman silam dan membolehkan anda menjengah ke dalam suasana kehidupan Laksmana Cheng Ho.

Kajian yang dijalankan ke atas Laksamana Islam ini amat menarik dan kesan yang ditinggalkan oleh pelayaran-pelayarannya ke sini masih boleh dilihat hingga ke hari ini.


No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers