Thursday, April 12, 2012

Langkah-Langkah Mengelakkan Kecelakaan Di Jalan Raya


Kemalangan jalan raya bukanlah satu perkara baru di negara kita, malahan sejak sekian lama kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.  Kemalangan tersebut telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa, terutamanya kemalangan yang melibatkan bas. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kecelakaan di jalan raya.
Langkah yang boleh dilaksanakan ialah kerajaan mesti mempertingkatkan kurikulum sekolah-sekolah memandu dan memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Seperti para pemandu diwajibkan menduduki peperiksaan setiap dua tahun untuk memahirkan mereka dengan kemahiran yang diajarkan di kelas memandu dahulu. Melalui usaha ini para pemandu pasti akan memanfaatkan dan menjaga lesen kenderaan yang diperolehi.
Selain itu, para pemandu perlu sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat sebelum digunakan, khususnya untuk perjalanan yang jauh. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan haruslah mewajibkan pemeriksaan kenderaan dilakukan setiap tahun dan mengenakan denda terhadap mereka yang mengingkarinya. Keadaan  kenderaan seperti tidak berlampu dan sistem brek yang rosak merupakan salah satu penyumbang utama kecelakaan di jalan raya dan mampu memberbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Denda juga harus dikenakan terhadap pengguna yang memandu melebihi had yang ditetapkan. Jika seseorang pemandu itu didapati melakukan kesalahan yang sama lebih daripada dua kali, maka lesen memandu mereka perlu digantung. Tindakan ini sudah pasti akan dapat membuka mata pengguna-pengguna lain. Sikap tidak mengambil peduli akan keselamatan di jalan raya dalam kalangan pengguna selama ini pasti akan terhakis apabila amaran menggantung lesen memandu mereka dikeluarkan. Kerajaan sewajarnya memastikan had laju yang sedia ada  dikurangkan, khususnya di kawasan lebuh raya, walaupun sesetengah pemandu sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi apabila suatu peraturan itu telah ditetapkan, mereka harus mematuhinya.
Tambahan pula, kecelakaan di jalan raya bukan saja berlaku atas sikap dan kecuaian manusia sahaja tetapi atas faktor keadaan fizikal jalan raya yang memberbahayakan para pengguna. Kementerian kerja raya menerusi jabatan kerja raya wajar mengenalpasti keadaan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan jalan raya. Seterusnya menambah jumlah kemudahan jalan raya seperti jejantas, lampu isyarat, melebarkan jalan raya dan memasang lampu jalan di kawasan-kawasan panas.
Kesimpulanya, bukan semua mengimpikan kemalangan jalan raya. Oleh itu para pengguna jalan raya mestilah sedar dan mengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin seterusnya dapat memastikan tiada lagi nyawa manusia yang hilang.
























No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers