Sunday, July 29, 2012

Mengembangkan industri kraftangan


Langkah-langkah mengembangkan industri kraftangan
Assalamualikum w.b.t, salam sejahtera, salam 1 malaysia saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru , serta rakan-rakan yang saya kasihi. Berdirinya saya di sini ingin berkongsi maklumat yang saya perolehi iaitu langkah-langkah untuk mengembangkan industri kraftangan.
Wahai jejaka  dan jelitawan
Sebelum saya meneruskan perlayaran ini biar saya memberi sedikit definisi  apakah kraftangan ? kraftangan menurut united nations conference on trade and development (UNCTAD) ialah barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan dikeluarkan dengan atau tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang dijalankan secara sendiri atau tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf.
Tahukah anda semua,  pada masa ini, industri kraftangan Malaysia boleh dikatakan berkeadaan “hidup segan mati tak mahu”. Hasil industri ini seperti barang piuter, tembikar, labu saying dan barangan buatan daripada rotan kurang mendapat sambutan daripada masyarakat. Selain pengusaha industri ini, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan yang giat dalam mengembangkan industri ini.


Jelaslah pengusaha industri kraftangan sukar mengembangkan sayap perniagaan mereka akibat daripada kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank. Sebagai kesannya, mereka tidak mampu membeli peralatan moden untuk membaiki mutu keluaran. Dalam hal ini, kerajaan perlu menyediakan kemudahan pinjaman kewangan kepada pengusaha menerusi skim pinjaman pengusaha kecil. Contohnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Bahagian Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Melalui tindakan ini, mereka dapat meminta pertolongan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan modal mereka.
Hadirin sekalian,  seperti kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”, hasil kraftangan tempatan yang unik dapat diperkenalkan kepada orang ramai apabila dijual di ekspo yang diadakan oleh persatuan pengusaha kraftangan. Selain itu, kerajaan hendaklah mendirikan pasar seni di setiap ceruk Negara untuk mempopularkan hasil kraftangan. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan wajar menyediakan infokraf di pusat pelancongan untuk mempromosikan kraftangan tempatan kepada pelancong. Usaha seperti “sambil menyelam, minum air”ini dapat memberikan nafas baharu kepada industri kraftangan Negara.


Selain itu, sebagai langkah untuk menyokong industri kraftangan tempatan, pejabat dan bangunan kerajaan haruslah dihias dengan hasil seni ini. “kepemimpinan melalui teladan, orang ramai yang berkunjung ke pejabat kerajaan akan mengikut gaya hiasan yang menggunakan hasil kraftangan yang cantik itu. Rancangan reality tentang seni hiasan dalaman harus menggunakan hasil kraftangan tempatan untuk menyerikan ruang tamu. Melalui paparan ini, orang ramai dapat menghayati keindahan seni ini dan seterusnya berusaha untuk memilikinya.
Setiap permulaan pasti ada pengakhiran,  sebagai kesimpulannya, dengan adanya langkah  positif daripada kerajaan dan swasta, industri kraftangan dapat “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”dengan kraftangan Negara maju. Walaupun Negara kita kecil, namun hasil kraftangan dapat dipasarkan ke seluruh dunia sekiranya semua pihak yang terlibat memainkan peranan masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers