Friday, February 26, 2010

Kuil Sri Maha Mariamman

Kuil Sri Maha Mariamman

Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak di George Town ialah salah satu kuil Hindu tertua di Pulau Pinang. Sejarahnya bermula seawal tahun 1801, apabila ketika itu ia tapak sembahyang kecil yang asas sahaja.

Kepesatan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan untuk buah pala, bunga cengkih, lada hitam serta rempah ratus lain menarik minat ramai pedagang luar dari Eropah, Amerika, Arab, India dan China. Mereka akhirnya bermastautin di Pulau Pinang.

Masyarakat India di pulau ini melihatkan perlunya sebuah kuil khusus untuk masyarakat India yang semakin bertambah bersetuju membina sebuah kuil. Tapak kecil ini telah dibesarkan menjadi kuil pada 1833. Tahun ini penting, kerana telah dicatat sebagai tahun kuil ini diasaskan.

Kuil ini mempunyai rekabentuk senibina India Selatan yang mewah serta dihias dengan hampir 40 arca dewa-dewi Hindu dan haiwan yang dianggap keramat. Arca- arca ini terletak di tembok gopuram (dinding tinggi), yang berketinggian 23 kaki.

Bahagian dalam kuil ini juga dihias dengan pelbagai arca Dewa dan Dewi Hindu termasuk sebuah arca Dewa Subramaniam - tuhan Hindu yang sangat dihormati yang dihias dengan emas, berlian dan zamrud.

Kuil ini juga dikenali dengan pelbagai nama, antaranya Kuil Sri Muthu Mariamman, Kuil Sri Arulmigu Mahamariamman, Kuil Sri Mariamman. Semuanya merujuk kepada kuil yang sama. Kuil ini terletak di tengah-tengah kawasan masyarakat India (Little India) di Georgetown iaitu di persimpangan Lebuh Chulia dan Lebuh Queen.

Tips
Pastikan anda menanggalkan kasut sebelum masuk ke tempat sembahyang. Anda boleh mengambil gambar di kuil ini. Bagaimanapun, di kawasan sembahyang utama tidak dibenarkan bergambar. Waktu dibuka: 8.00 pagi - 12.00 tengahari dan 4.00 petang - 9.00 petang.

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers