Friday, February 26, 2010

Negeri Selangor Darul Ehsan

Penjelajahan Tanpa Akhir

Negeri Selangor terkenal dengan gelaran 'pintu masuk' ke Malaysia, kerana kedudukannya yang strategik di antara jalan-jalan masuk utama. Di selatan Selangor terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang merupakan lapangan terbang utama di Malaysia serta Pelabuhan Klang, pelabuhan yang terkenal di tanah air.

Gerbang Kota Darul Ehsan yang tersergam di laluan Lebuhraya Persekutuan menjadi lambang yang menandakan sempadan negeri ini. Struktur yang bercirikan gaya seni Islam Mughal ini, merupakan mercu tanda yang terulung di Selangor, didirikan untuk memperingati penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1974.

Shah Alam, ibu negeri Selangor terserlah sebagai bandar terancang yang menggabungkan keharmonian alam semula jadi dan kemodenan. Kawasan perumhan serta pusat perdagangan di bandar ini pula di kelilingi pohon-pohon yang menghijau serta sebuah tasik yang indah.

Batu Caves menjadi tumpuan utama rakyat Hindu, terutamanya sewaktu sambutan perayaan keagamaan. Batu Caves terletak 15 kilometer ke utara KL, dan setiap Januari atau Februari, beribu-ribu penganut Hindu datang ke kuil ini untuk menyambut perayaan penuh meriah, Thaipusam.

Pecinta sejarah pasti terpesona dengan pelbagai kisah silam di Selangor. Hayati perkembangan negeri Selangor dari zaman perlombongan bijih timah hinggalah kegemilangan Kesultanan Melayu di negeri ini.

Selangor menampilkan pelbagai tarikan yang pasti menawan hati seperti keunikan budaya, tempat-tempat menarik dan bersejarah serta masakan yang enak dan lazat. Sesungguhnya, Selangor menawarkan penjelajahan tanpa akhir.

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers