Friday, February 26, 2010

Negeri Perak Darul Ridzuan

Bandar Bersejarah & Pulau Peranginan Indah

Perak Darul Ridzuan menjanjikan pelbagai pengalaman indah seperti bersantai di pulau dan pantainya yang indah, berkunjung ke tokong dalam gua, meneroka khazanah alam dan menghayati kepelbagaian warisan budaya penduduknya yang berbilang kaum.

Meliputi kawasan seluas 21,000 km. persegi, Perak terletak di antara negeri Kedah di utara dan negeri Selangor di selatan. Banjaran gunung utama di sini mengunjur di sepanjang negeri Perak dan tersergam megah berbanding tanah rata yang terhampar sehingga ke persisiran pantai barat negeri ini.

Negeri Perak juga dikenali sebagai 'Negeri Anggun', oleh sebab suasana serta keindahannya yang bersahaja. Negeri Perak terbahagi kepada sembilan buah daerah.

Setiap daerah mempunyai ciri-ciri keindahan dan sejarah yang tersendiri serta tarikan pelancongan termasuk bangunan bersenibina Anglo-Melayu dan Cina, bangunan kolonial, gua batu kapur, kuil dan tokong, serta pusat peranginan di tanah tinggi seperti yang terdapat di Bukit Larut (Maxwell Hill).

Ibu negeri Perak, bandar Ipoh di penuhi bangunan-bangunan lama peninggalan Inggeris dan terkenal dengan sajian makanan yang sederhana tetapi lazat di gerai-gerai tepi jalan. Malahan, sajian makanan enak di Ipoh menarik ramai pelawat harian dari seluruh Malaysia hingga ada yang sanggup memandu selama tiga jam semata-mata untuk menikmati semangkuk mee lazat yang hanya boleh didapati di sini!

Bahagian pantai barat negeri Perak yang menghadap Selat Melaka mempunyai beberapa buah pulau yang terletak tidak jauh dari tanah besar. Pulau yang terdekat jaraknya dengan tanah besar ialah Pulau Pangkor yang terletak bertentangan dengan pekan Lumut di tanah besar. Gaya kehidupan di Pulau Pangkor yang unik menawarkan pelbagai pengalaman percutian yang indah dan beberapa buah pantai yang menawan untuk para pelawat. Cuba sajian makanan laut di sini, anda pasti tertawan!

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers